KUALA KEDAH, 10 September – Laporan semasa kewangan negeri Kedah
menunjukkan perkembangan positif dengan terdapatnya lebihan puluhan
juta ringgit di dalam penyata kira-kira kewangan negeri.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Dato' Seri Ustaz Haji Azizan Abdul
Razak semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Zakat Dan
Berbuka Puasa di Masjid Kariah Kampung Hutan, Mukim Padang Hang, di
sini.
"Kita dapat maklumat daripada Pegawai Kewangan Negeri, inilah kali
pertama dalam masa enam bulan, kira-kira kewangan negeri kita
positif," maklum beliau pada majlis itu.
Terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat
mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman
pada petang itu, Ustaz Azizan mengarahkan Syarikat Milik Kerajaan
Negeri (GLC) membuat laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah
(BPR) berhubung Jenayah Pecah Amanah yang berlaku di dalam pengurusan
sesetengah GLC terbabit semasa di zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Ujarnya, Kerajaan Negeri setelah enam bulan mengambil alih tampuk
pemerintahan menjumpai banyak penyelewengan serta salah guna kuasa dan
wang yang dilakukan pentadbiran terdahulu.
Dalam perkembangan lain, YAB Menteri Besar pada 5 Ogos lalu
memaklumkan Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan puluhan juta ringgit
hasil daripada polisi belanja berhemah yang diamalkan selain
mengurangkan 30 peratus peruntukan untuk pembangunan berikutan
kenaikan harga minyak pertengahan Jun lalu.